AHLI IBADAT DAN PENUNGGU POKOK - Kisah Teladan

Latest

Takut Allah Dan Rindukan Nabi

Sunday 25 September 2016

AHLI IBADAT DAN PENUNGGU POKOK

 
Suatu ketika dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh ramai manusia . Maka datanglah seseorang lelaki ahli ibadat yang marah dengan perbuatan syirik orang ramai itu dengan kapaknya menuju ke arah pokok itu . Tiba-tiba muncullah syaitan yang menjelma sebagai seorang manusia biasa lalu menghalangnya .

“ Apa tujuanmu ke mari ? “, tanya orang ( syaitan ) yang menghalang itu .

Jawab ahli ibadat yang memegang kapak itu : “ Aku mahu menebang pokok yang disembah oleh manusia ini kerana ia adalah perbuatan menyekutukan ( syirik ) ALLAH “.

“ Apa masalahnya jika pokok ini terus disembah oleh orang ramai “, tanya syaitan itu lagi .

Ahli ibadat itu tetap mahu meneruskan niatnya. Maka terjadilah pergaduhan di antara lelaki itu dan syaitan. Si lelaki berjaya menewaskan syaitan. 

Lalu syaitan pun memujuk dengan katanya : “ Apakah engkau hidup dengan selesa sekarang ? . Begini sahajalah . Tak payahlah engkau menebang pokok ini . Dan sebagai imbalannya , setiap kali engkau bangun daripada tidur , di tepimu telah tersedia dua dinar ( duit emas ) “ .

Lelaki itu bertanya lagi : “ Hai , bagaimana mungkin aku mendapatkannya ? “ .

“ Tak mengapa . Aku yang akan sediakannya setiap kali kau bangun daripada tidurmu “ ; ujar Sang Syaitan yang melihat pujukannya sudah berjaya .

Keesokan hari , lelaki itu memang mendapati ada dua dinar di tepi bantalnya apabila dia tersedar daripada tidurnya . Namun , selepas itu ( lusa ) , tidak ada lagi dua dinar sebagaimana dijanjikan sebelum itu .

Lelaki itu pun naik marah lalu bergegas menuju ke pokok itu untuk menebangnya . Tiba-tiba muncullah syaitan sekali lagi dengan rupa sebagai seorang manusia biasa .

“ Apa lagi kamu mahu ? “, tanya syaitan .

“ Aku mahu menebang pokok ini kerana marah dengan perbuatan manusia mensyirikkan ALLAH “ ; jawab pemuda itu .

Syaitan pun berkata : “ Kau penipu ! . Sebenarnya bukan kerana ALLAH , tetapi kau datang kerana mahukan dua dinar yang aku janjikan kepada engkau sebelum ini . Engkau takkan dapat menebang pokok ini “ .

Lalu bertambah marahlah lelaki itu . Maka terjadilah pergaduhan di antara lelaki itu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang manusia biasa . Lelaki itu dihempas ke bumi dan hampir sahaja syaitan itu meragut nyawanya .

Lalu syaitan itu pun berkata : “ Tahukah engkau aku ini sebenarnya adalah SYAITAN ? ….. Pada mulanya dahulu engkau datang betul-betul marah dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Sebab itu aku tidak mampu mengalahkanmu . Namun pada hari ini , engkau datang dengan marah bukan lagi kerana ALLAH , tetapi kerana tidak mendapatkan dua dinar itu , maka aku berjaya kalahkan engkau “.

No comments:

Post a Comment