Suatu hari ketika
Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang
jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang
mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluh orang itu, “Aduhai, alangkah
malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari
nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi
atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah
lunglai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan
air walaupun setitik.”
Mendengar keluhan
itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan
mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik saja dia
sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi
wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya. Dalam pada
itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang
tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa
membukanya. Setelah dibuka, ternyatalah bungkusan itu berisi wang dan
secarik kertas yang bertulis, ” Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu
mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh
diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah
bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa,
hai kawan, tetapi berusahalah terus.”
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi,
“Ya Allah Tuhan
Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan
bungkusan lain seperti kelmarin, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang
melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah
hidupku, wahai untung nasibku.”
Mendengar keluhan
itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi
wang dan secarik kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan
perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik saja mendapat bungkusan
itu. Lantas terus membukanya.
Seperti dahulu
juga, di dalam bungkusan itu tetap ada selembar kertas lalu dibacanya,
“Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar
dan berusaha. Perbuatan demikian malas namanya. Putus asa kepada
kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang
pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya.
Ingatlah jangan berbuat demikian. Kalau ingin hidup senang mesti suka
pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang
sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau
disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan
perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan
mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan
yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan
pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama
kamu tidak berputus asa. Nah carilah segera pekerjaan, saya doakan
semoga engkau beruntung.”
Setelah selesai
membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya
yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.
Pada keesokan
harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak
dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup
dan tidak lagi melupakan nasihat orang yang memberikan nasihat itu.
No comments:
Post a Comment